Sunday, 19 August 2007

Masyarakat Perlu Maafkan Wee

Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata rakyat perlu memaafkan pelajar Wee Meng Cheng atau "Namewee" yang menyesal dengan tindakannya menghina lagu kebangsaan.
Beliau berkata remaja itu, yang sedang menuntut dalam jurusan komunikasi massa di Universiti Ming Chuan, Taiwan telah membuat kesilapan itu kerana masih muda dan mentah dan belum dapat menilai sensitiviti negara.
Wee tidak seharusnya dihukum dan sebaliknya perlu memberinya pendidikan yang sebaiknya bagi "membolehkan beliau memahami perkara asas dan memisahkan isu politik dengan isu yang bersifat kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun pertama radio Klasik Nasional di Angkasapuri hari ini.Zainuddin turut memuji Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting yang telah mengambil "pendirian pro-aktif dengan tidak menjadikannya isu perkauman".Wee menimbulkan kontroversi dan menerima banyak kritikan apabila mengubahsuai lagu Negaraku dengan menyanyikannya dalam rentak rap menggunakan bahasa kasar dalam klip video selama 5 minit 32 saat yang disiarkan oleh laman YouTube baru-baru ini.
Zainuddin turut kesal dengan tindakan beberapa pihak terutama parti pembangkang yang mengambil kesempatan untuk mempolitikkan isu itu sehingga ia berbaur perkauman."Ada parti politik contohnya seperti DAP yang sudah pun menawarkan pelajar ini untuk menjadi ahli mereka hanya kerana dia lantang mengkritik kerajaan dan saya cukup kesal dengan perkara sebegini," katanya.Zainuddin berharap masyarakat tidak seterusnya menghangatkan isu ini kerana remaja itu sudahpun memohon maaf kepada rakyat, malah insiden ini menyedarkannya mengenai pentingnya menghargai warisan negara terutama lagu Negaraku.
Wee, 24, hari ini memohon maaf kepada kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia atas perbuatannya itu melalui Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang juga Naib Presiden MCA.
Terdahulu, Zainuddin berkata Radio Klasik Nasional yang baru berusia setahun kini telah pun mencapai 1.2 juta orang pendengar dan ia merupakan satu pencapaian yang menakjubkan.
Beliau yakin stesen radio itu akan menjadi satu daripada stesen radio terkenal di negara ini, dan usaha menggabungkan stesen Klasik FM dengan Nasional FM merupakan satu perancangan hebat yang diilhamkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).
"Apabila melihat Nasional FM telah menurun sambutannya manakala Klasik FM pula meningkat popularitinya, kita ambil keputusan untuk gabungkan kedua-duanya dan inilah hasilnya," katanya.
Radio Klasik Nasional yang dilancarkan siarannya pada 12 Ogos tahun lalu memainkan pelbagai irama lagu antaranya klasik, tradisional dan moden, sesuai dengan kehendak pendengar semasa, kata Zainuddin.
-- BERNAMA

0 comments: